Sunday, March 31, 2013

KEZALIMAN BERLELUASA DI AKHIR ZAMAN

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Bukhari

Kategori: 
 Akhlak
Hadith: 

Daripada az-Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekalian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati). Keterangan ini aku dengar daripada Nabi SAW.”

Huraian Hadith: 
  1. Masa yang akan datang lebih berat bagi manusia daripada masa yang berlalu.
  2. Keburukan akan berleluasa pada akhir zaman.
  3. Seseorang adalah di kehendaki bersegera dan berlumba-lumba beramal dan melakukan kebajikan kerana keadaan pada hari yang lepas lebih baik daripada hari yang akan datang.
  4. Seseorang hendaklah menerima dengan sabar dan menghadapi dengan tenang apabila berlaku suatu kezaliman.
Sumber: Kitab Riyadhus Salihin

Saturday, March 30, 2013

WAKTU DOA PALING MUSTAJAB

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Muslim

Kategori: 
 Ibadah
Hadith: 

Dari Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T."

Huraian Hadith: 
  1. Kedudukan sujud ialah dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam AS bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan.
  2. Sujud hanyalah untuk Allah S.W.T. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah "Sujudlah pada Ku." Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud. Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.
  3. Sujud juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan asal kejadiannya tetapi juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajal kematian.

Friday, March 29, 2013

TUGASAN RASMI DI TAIPING -(1)

Assalaamualaikum wbt,

Minggu lepas pada 22 Mac 2013 (Jumaat) saya bertolak ke Taiping atas tugasan rasmi ....tahun 2013 ini adalah kali pertama ke Taiping dalam tahun 2013 , selepas singgah di Taiping bulan Oktober 2012 lalu.  Kali ini 3 malam menginap di Sentosa Villa , Taiping betul2 di bawah Bukit Larut Taiping....nyaman dan pada sebelah malam..seolah2 berada dalam hutan dan tidur didendangkan dengan bunyi anak sungai, bunyi unggas dan bunyi cengkerik pada sebelah malam....lain dari yang lain..... Berada di sini hingga 25 Mac 2013...3 malam yang begitu indah dan tak puas rasanya berada di Taiping...Insyallah akan bersama anggota keluarga pulak selepas ini.....

BLOK UTAMA MEREKA
BEGITU HAMPIR DENGAN HUTAN DAN SEBAHAGIANNYA DALAM HUTAN DI BAWAH KAKI
BUKIT LARUT
LANDSCAPE RINGKAS DAN MENARIK
MUDAH NAK BERJALAN KAKI..SELESA
TERSEREMPAK DENGAN 5 EKOR ITIK PULANG PETANG...
MALAM KEDUA KAMI DIHIDANGKAN DENGAN BBQ...ALHAMDULILLAH

Tugasan kali ini begitu mencabar kerana masa yang begitu terhad dan dateline yang perlu dikejar..kerana hari Sabtu dan Ahad ...sempat ke pasar malam,  ke Mat Tailor dan makan meeudang di Kuala Sepetang...termasuk lawatan rasmi ke Stesyen TM Bukit Larut.....tunggu entri akan datang...

Tuesday, March 26, 2013

AMALAN MEMBAWA KE SYURGA

Asaalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Bukhari dan Muslim
Kategori: 
 Akhlak

Hadith: 

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori RA: Bahawasanya seorang lelaki berkata “ Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga”. Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim”. 

Huraian Hadith: 
  1. Hubungan silaturahim adalah satu cara yang membolehkan seorang masuk syurga.
  2. Hubungan silaturahim adalah sebahagian daripada amalan yang dituntut oleh Islam.
  3. Silaturahim adalah sama dengan amalan-amalan lain yang diperintah oleh rasulullah melakukannya.
  4. Memutuskan hubungan silaturahim menghalang seorang daripada masuk syurga.
  5. Di antara sebab yang membawa seorang masuk syurga ialah ibadah-ibadah yang tersebut dalam hadisnya ini.
  6. Harapan dan angan-angan semata-mata tidak boleh membawa seorang masuk syurga, malah perlu kepada melakukan amalan yang telah difardukan Allah SWT.
Sumber: Kitab Riyadhus Salihin

Sunday, March 24, 2013

SIAP SEDIA UNTUK BERJIHAD

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Bukhari dan Muslim
Kategori: 
 Ibadah
Hadith: 

Daripada  Aisyah RA  katanya, Nabi SAW bersabda, “Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ialah jihad atau berjuang dan niat untuk jihad (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjuang (dan sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”

Huraian Hadith: 
  1. Apabila sesebuah negara telah menjadi negara Islam, penduduknya tidak lagi wajib berhijrah ke negara lain.
  2. Berhijrah dari tempat atau negara yang tidak membolehkan seseorang melaksanakan perintah agama tetap wajib jika negara itu sebuah negara kafir.
  3. Orang beriman wajib bersedia untuk berjihad dan menyambut seruan jihad.
  4. Jihad dapat meneguhkan agama Allah.
Sumber: Kitab Riyadhus Salihin

Friday, March 22, 2013

BERPERANG PADA JALAN ALLAH

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
Bukhari dan Muslim
Kategori: 
Ibadah
Hadith: 

Daripada  Abu Musa (Abdullah bin Qais) al-Asha`ri RA katanya : “Rasulullah SAW ditanya mengenai seorang lelaki yang berperang kerana keberanian kerana panas hati, dan kerana riya’. Maka yang mana satukah di antara semua itu berperang kerana Allah? Jawab Rasulullah SAW : Sesiapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah dialah orang yang berperang pada jalan Allah. “

Huraian Hadith: 
  1. Islam sentiasa menuntut umatnya berjuang pada jalan Allah.
  2. Orang yang berjuang untuk menegakkan agama sahajalah yang dikira berjuang pada jalan Allah.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Wednesday, March 20, 2013

BEKERJA DI TEMPAT TINGGI ( WORKING AT HEIGHT)

Assalaamualaikum wbt,

Tugasan saya sekarang memang berkait dengan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan dan alam sekitar....selama ini jika mengajar..sekadar teori....bila unit kami menganjurkan program khas Pengurusan Bekerja di Tempat tinggi, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengalami sendiri memanjat dan bekerja di tempat tinggi.

Program dua hari di Melaka (11 dan 12 Mac lalu) dengan kelas terori di hari pertama dan praktikal di hari kedua....memang sgt menarik. Kelas teori termasuk aspek keselamatan dan cara memakai Abah Abah  Keselamatan ( Full Body Harness) dengan betul

SEDANG MENCUBA ABAH2 KESELAMATAN
Hari kedua adalah praktikal dan sedikit berdebar2....tapi diyakinkan dengan kelas teori semalam.....perghhhhhh...Lokasinya Stesyen Bukit di Bukit Beruang , Melaka...boleh nampak sekitar Bandaraya Melaka...

POSING BERAMAI2 DULU DI KAKI BUKIT , 
STESYEN BUKIT, BUKIT BERUANG, MELAKA
TU DIA....KENA PANJAT TAPI BUKAN SELURUHNYA
PEMANDANGAN DARI CELAH2 POKOK DURIAN...

Sebelum memanjat tinggi kena buat 'hanging  test' dulu nak bagi keyakinan sebelum naik tangga dan memanjat tempat tinggi....latihan ini nampak mudah... naik tangga lebih kurang 15 kaki dan selepas itu kena terjun ....jangan bimbang sebab full body harness dan tali keselamatan telah diikat kukuh untuk membolehkan kita tergantung...

KENA PANJAT SEKITAR 15 KAKI DAN JATUHKAN DIRI....
DAH SEPARUH JALAN...
SETELAH MELEPASKAN DIRI DAN TERGANTUNG  SELAMA BEBERAPA SAAT...

Barulah kita boleh naik tangga setinggi lebih kurang 20 kaki naik dan turun menggunakan full body harness dan lanyard yang dicangkukpada setiap takuk tangga samada semasa naik dan turun,  In Shaa Allah jika mematuhi semua langkah dan prosidur akan selamat.

PENDAKIAN BERMULA DARI BAWAH....
SUDAH SEPARUH JALAN....BOLEH TAHAN MENCABAR
SEMASA TURUN...TANGAN  SAYA SAKIT....REHAT JAP KAT TENGAH2

Setiap peserta yang layak dan sihat dibenarkan buat 3 latihan.....latihan yang ketiga boleh tahan jugak mencabar seperti di bawah.....saya ketika ini dah mula rasa sakit kat lengan dan bahagian peha,  tapi gagahkan jugak sebab nak merasa semua latihan praktikal....hehehe...takut jugak tapi kena kuatkan hati....

KETIKA SEDANG MEMANJAT MENARA TERBUKA TANPA TANGGA
 DIGALAKKAN MENGUJI TALI DAN IKATAN DENGAN MEMBONGKOKKAN BADAN BERBENTUK L

DAH NAK TURUN DAH
Alhamdulillah dapat jalani ketiga2 ujian praktikal......lega.....walaupun terasa lengan sakit peha sakit, hati puas.....Selepas ni kalau nak menegur kontraktor atau mengajar...akan rasa lebih yakin dan mudah....
PUAS HATI DAH LENGKAPKAN LATIHAN...KENANGAN BERSAMA RAKAN2 DARI SELURUH
MALAYSIA..

Monday, March 18, 2013

BERCITA CITA SYAHID DI JALAN ALLAH

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Muslim

Kategori: 
 Akhlak
Hadith: 

Daripada Abu Sabit, ada orang yang memanggilnya Abu Said dan ada pula yang memanggilnya Abu al-Walid iaitu Sahal bin Hanif salah seorang yang menyertai perang Badar (bersama Rasulullah SAW), “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, sesiapa yang memohon kepada Allah mati syahid dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah akan samakan tarafnya dengan orang yang mati syahid walaupun dia mati di tempat tidur.” 

Huraian Hadith: 
  1. Hati yang benar adalah sebab tercapainya cita-cita, orang yang berazam melakukan sesuatu amalan kebaikan akan mendapat ganjaran walaupun apa yang diniatkan tidak terlaksana.
  2. Syahid yang sebenar  ialah mati dalam menegakkan kalimah Allah, bukan kerana tujuan yang lain.
  3. Sesiapa bercita-cita serta berazam bersungguh-sungguh melakukan sesuatu kebajikan nescaya diperkenankan oleh Allah SWT. Ini adalah menggambarkan kebesaran, kekuasaan dan kehendak Allah.
  4. Islam menyuruh umatnya berjihad di jalan Allah.
  5. Islam menggalakkan umatnya berdoa kepada Allah untuk melakukan sesuatu kebaikan walaupun dia tidak dapat melakukannya.
Sumber: Kitab Riyadhus Salihin

Sunday, March 17, 2013

ALLAH MAHA PEMURAH

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada Anas RA daripada Nabi SAW dalam apa yang diriwayatkan daripada tuhannya (hadis Qudsi) firmanNya: “Jika seseorang hamba menghampiriku sejengkal, maka aku menghampirinya sehasta, jika dia menghampiriku sehasta maka aku menghampirinya sedepa dan jika dia datang kepadaku dengan berjalan maka aku datang kepadanya dengan berlari.”

Huraian Hadith: 
  1. Allah maha pemurah yang menjanjikan dan memberi  pahala yang besar kepada amalan yang baik walaupun sedikit.
  2. Seseorang itu sangat digalakkan untuk mencari keredhaan Allah,bukti galakan itu ialah dengan melipat gandakan ganjaran.
  3. Setiap orang hendaklah segera berdakwah ke jalan Allah.

Saturday, March 16, 2013

MENOLONG ORANG ZALIM DAN YANG DIZALIMI

Assalaamualaikum wbt,


Riwayat: 
 Bukhari

Kategori: 
 Akhlak
Hadith: 

Daripada Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”, berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya”.

Huraian Hadith: 
  1. Orang Islam wajib menolong saudaranya yang dizalimi.
  2. Orang Islam wajib menahan dan mencegah saudara seagamanya daripada melakukan kezaliman. Inilah yang dimaksudkan dengan menolong saudara yang zalim, kerana dengan menghalangnya daripada kezaliman bererti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab.
  3. Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa-apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang-orang Islam sendiri atau daripada yang bukan Islam.

Thursday, March 14, 2013

JANGAN MENDEDAHKAN AIB ORANG LAIN

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”. 

Huraian Hadith: 
  1. Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain.
  2. Setiap orang Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan.
  3. Seorang Islam tidak boleh mendedahkan keburukan saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya.
  4. Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran.
  5. Islam memelihara hak masyarakat dan menyeru umatnya merealisasikan jaminan sosial dalam semua bentuk kehidupan bermasyarakat sama ada kebendaan atau rohani.

Tuesday, March 12, 2013

HARAM MENGKHIANATI SESAMA ISLAM

Assalaamualaikum wbt,



Riwayat: 
 at-Tirmizi, katanya hadis hasan

Hadith: 

Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, ”Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan kedadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.” 

Huraian Hadith: 
  1. Haram bagi orang Islam mengkhianati dan mendustakan orang Islam yang lain.
  2. Menjadi kewajipan orang Islam untuk memelihara dan menjaga maruah dan harta benda orang Islam yang lain.
  3. Haram menumpahkan darah Islam sesama.
  4. Menghina seorang muslim adalah dosa besar kerana muslim ada penghormatannya di sisi Allah SWT.
  5. Taqwa bukan perbuatan yang boleh dilihat atau perkataan yang boleh didengar, taqwa adalah sifat yang tersemat dihati sanubari, jika suatu perbuatan atau perkataan didorong oleh sifat itu maka perbuatan dan perkataan itu adalah dalil taqwa yang tersemat dalam hati, tetapi kadang-kadang perbuatan atau perkataan itu didorong oleh faktor luaran seperti riya’ dan ‘ujub.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin


Monday, March 11, 2013

KEWAJIPAN MENJAGA KEAMANAN

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang lalu di dalam kawasan masjid atau pasar kami dengan membawa panah, maka hendaklah ia memegang (menutup) mata panah itu dengan tangannya kerana ditakuti terkena salah seorang daripada muslimin dengan panah itu”. 

Huraian Hadith: 
  1. Setiap orang Islam hendaklah mempastikan dirinya tidak menjadi ancaman kepada orang Islam yang lain.
  2. Setiap orang Islam mestilah tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan apa jua cara sekalipun.
  3. Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang Islam yang lain.
  4. Hadis ini menunjukkan sifat penyayang nabi kita kepada umatnya dengan sentiasa menitik beratkan keselamatan mereka.
  5. Islam telah menggariskan adab membawa senjata. Senjata tidak harus dibawa tanpa tujuan yang dibenarkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang lain atau menguasai mereka.

Sunday, March 10, 2013

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid Bin Harithah RA katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Lalu terkeluarlah isi perutnya dan berpusing lelaki itu dalam neraka seolah-olah keldai memusing kisaran“ Lalu ahli neraka berkumpul kepadanya dan bertanya, “Wahai fulan, mengapakah engkau ini? Tidakkah engkau dahulu menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada kemungkaran?” Jawabnya, “ Ya, aku menyeru kepada kebajikan tetapi aku tidak mengerjakannya dan melarang daripada kemungkaran tetapi aku mengerjakannya”.

Huraian Hadith: 
  1. Allah sentiasa melihat perbuatan manusia sama ada yang baik atau yang jahat.
  2. Janganlah berpura-pura dan mempersendakan perkara-perkara kebajikan sedangkan Allah Maha Mengetahui.
  3. Hadis ini menunjukkan besarnya dosa orang yang menyuruh kepada yang makruf sedangkan dia sendiri tidak melakukannya (khususnya perkara wajib dan fardhu) atau melarang daripada kemungkaran sedangkan dia melakukannya. Ini kerana dia melakukannya dengan penuh sedar dan dengan pengetahuan yang cukup bukan kerana lupa atau jahil.
  4. Melakukan yang makruf dan meninggalkan kemungkaran adalah sebab seseorang itu terhindar daripada neraka.
  5. Azab neraka yang diceritakan oleh Rasulullah SAW adalah antara perkara ghaib yang wajib diimani.

Friday, March 8, 2013

MEREMPIT- LEPAS GERAM

Assalaamualaikum wbt,

Alhamdulillah program yang dirancang oleh Unit tempat kerja berjalan lancar....dah lama tak jadi Setiausaha dan sekretariat....panik jugak. (Program Kempen Menunggang Dengan Selamat ke Tempat Kerja 2013 pada 22 dan 22 Feb 2013.  Program praktikal di Cyberjaya pada 23 Februari  dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang). Hari pertama kelas teori dan ceramah keselamatan....hari kedua baru praktikal dari Menara TM seramai 65 orang terus berkonvoi ke Cyberjaya dengan diiringi 6 Polis Tafik bermotosikal kuasa besar.

TEKUN DENGAR TAKLIMAT DARI POLIS TRAFIK
Lesen motor saya perolehi tahun 1979 dan sempat 13 tahun bermotosikal semasa belajar hingga  awal bekerja dulu...hingga tahun 1992....terlalu banyak asam garam sepanjang 13 tahun....merempit....kemalangan serius....kemalangan kecil....kemalangan hampir meragut nyawa saya dan banyak lagi....tak terkata....ngeri  bila dikenang....

Sementara menunggu para peserta praktikal menunggang dengan selamat....saya amik kesempatan meninjau beberapa motosikal  besar dan tergerak hati nak mencuba Skuter berkuasa tinggi kawan...dalam hati berdebar2 jugak....almaklum dah dekat berbelas tahun tidak menunggang....amik kesempatan try skuter kawan 460 CC,  berat dan boleh tahan besar jugak.....saya hanya mencuba dua pusingan di Cybersports Arena , Cyberjaya , berdebar2 dan tangan sedikit mengeletar....entah kenapa...

JANGAN TIRU AKSI INI SEBAB SAYA TIDAK PAKAI TOPI KELEDAR KESELAMATAN DAN
BOLEH MEBAHAYAKAN KESELAMATAN SENDIRI
 TENGAH NAK SPEED LAJU....
 AMIK KORNER SEBELUM PARKING
 TENGAH STAND PARKING
DAH SELAMAT PARKING....
Boss saya marah dan tak berapa 'happy' dengan 'gelagat' saya menunggang tanpa helmet....saya hanya senyum dan mintak maaf sebab 'gelagat' saya memang tidak ada dalam skrip kami dan sebagai salah seorang watak utama sebagai sekretariat ianya mengundang rasa kurang senang di kalangan peserta dan sekretariat yang lain.

Saya cuma dapat puaskan hati saya dengan mencuba skuter kawan....ada pulak kawan lain suruh saya cuba motor lagi besar....Voyager 3....saya tak berani....

Thursday, March 7, 2013

DIHARUSKAN MENANGIS KEPADA ORANG YANG MENINGGAL DUNIA

Assalaamualaikum wbt,


Hadith: 

Daripada ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas'ud RA, kemudian Rasulullah SAW. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya.

Huraian Hadith: 
  1. Bersedih dan menangis kerana kematian seseorang yang dikasihi diharuskan oleh syarak dengan syarat ia tidak melampaui batas seperti meratapi serta meraung-raung dan sebagainya.
  2. Penyeksaan atau rahmat terhadap orang mati bergantung kepada amalan lidah orang yang masih hidup di mana apabila lidah tersebut digunakan untuk memperkatakan kebaikan si mati ia akan mendatangkan kebaikan kepada si mati.
  3. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk memperkatakan kejahatan si mati atau memperkatakan kebaikan tetapi dengan cara yang tidak beradab ia akan mendatangkan keburukkan kepada si mati.

Wednesday, March 6, 2013

CABARAN MENGIKUT PEREDARAN MASA

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekelian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati).” Keterangan ini aku dengar daripada nabi kamu Rasululluah SAW.

Huraian Hadith: 
  1. Hadis ini menceritakan bahawa masa yang akan datang lebih berat cabaran bagi manusia berbanding masa lalu.
  2. Keburukan akan berleluasa pada akhir zaman.
  3. Seseorang digesa bersegera dalam mengerjakan amal soleh.
  4. Seseorang hendaklah sentiasa bersabar apabila berhadapan dengan kezaliman.

Tuesday, March 5, 2013

MENTAUHIDKAN ALLAH SWT.

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada  Abu Sufian ya`ni Sahri ibni Harbin RA dalam ceritanya yang panjang lebar berhubung dengan kisah Hirqal (Raja Rom). Tanya Hirqal, “Apa yang diperintahkan kepada kamu (ya`ni Nabi SAW)?” Jawab Abu Sufian : Dia (ya`ni Nabi) berkata “Sembahlah Allah Yang Esa dan jangan menyekutukannya (Allah) dengan sesuatu apa pun. Tinggalkan semua ajaran nenek moyang kamu dan dia (Nabi) menyuruh kami bersembahyang, bercakap benar, memelihara diri daripada kemungkaran dan menghubungkan silatul rahim.”

Huraian Hadith: 
  1. Rasulullah SAW sentiasa bersikap benar sehingga diakui oleh musuh, kerana Abu Sufian, pada masa pertemuan dengan Hirqal masih merupakan seorang kafir dan memusuhi Rasulullah SAW.
  2. Tunjang Islam adalah mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
  3. Berpegang dengan kepercayaan jahiliah  dalam masalah agama adalah dilarang.
  4. Seruan Islam itu adalah untuk seluruh manusia.
  5. Tauhid (beriman) kepada Allah adalah perkara pokok dalam akidah Islam.
  6. Menyekutukan Allah dengan sesuatu adalah terkeluar daripada akidah Islam. 

Monday, March 4, 2013

HOBI BELAKANG RUMAH - PART 6 (BERHASIL)

Assalaamualaikum wbt,

Ada jugak pokok yang ditaman belakang rumah yang boleh kami gunakan untuk kehidupan seharian...saya ada pokok serai, pokok kari, daun pandan, limau purut, limau kasturi, kunyit...Manakala pokok anggur, jambu batu sekadar nak mencuba samada pokok ini boleh berbuah...alhamdulillah boleh berbuah walaupun hasilnya kecil dan tidak sebesar yang ada dijual di pasaraya atau kedai buah...sekadar suka2..

Selalu wife guna daun pandan, limau purut atau daun kari untuk memasak....dan serai jika ada yang dah matang dan sesuai untuk masakan....

BARU LEPAS BAJA...HIJAU DAUN PANDAN NI
SERAI DAN POKOK KARI
POKOK KENCUR
 KUNYIT
LIMAU PURUT
 LIMAU NIPIS
LIMAU KASTURI.....DAH LAMA TAK BERBUAH
 HAMPIR NAK MASAK DAH...
ALHAMDULILLAH...DAPAT JUGAK MERASA SEBIJI DALAM BULAN JAN 2013 LALU


Selalu berdoa kalaulah dapat duduk rumah banglo ker, corner lot ker atau semi D , mesti ada kawasan...nak tanam pokok rambutan dan pokok mangga sekali....In Shaa Allah...

Saturday, March 2, 2013

TINGKAT DARJAT DI SISI ALLAH BERDASARKAN UJIAN MUSIBAH

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada  Abu Hurairah RA katanya, “Telah bersabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan baginya ditimpakan penderitaan ke atasnya.”
Huraian Hadith: 
  1. Musibah yang ditimpakan ke atas orang yang beriman akan meningkatkan darjatnya di sisi Allah atau menghapuskan dosanya jika dihadapi dengan redha dan sabar.
  2. Seseorang itu dikehendaki bersabar ketika menghadapi penderitaan yang menimpanya.
  3. Setiap  penderitaan itu akan diberikan ganjaran oleh Allah apabila dihadapi dengan kesabaran.

Friday, March 1, 2013

JAUHI GODAAN WANITA

Assalaamualaikum wbt,


Hadith: 

Daripada Abu Said al-Khudri RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesungguhnya dunia itu amat manis dan indah pada pandangan mata. Sesungguhnya Allah melantik kamu menjadi pemerintah di dunia ini dan Allah memerhatikan bagaimana kamu bekerja. Oleh itu takutlah (Jauhi) fitnah dan takutilah tipu daya atau godaan wanita. Sesungguhnya fitnah pertama terhadap Bani Israil berlaku disebabkan wanita.”

Huraian Hadith: 
  1. Tergoda pada wanita boleh berlaku dengan pergaulan bebas dan memandang kepada bahagian tubuh yang membangkitkan nafsu (bagi wanita asing yang bukan isteri) atau berseronok dengan isteri hingga terlupa menunaikan kewajipan agama.
  2. Kita hendaklah mengambil pengajaran daripada kisah umat-umat terdahulu, kerana apa yang berlaku kepada Bani Israil tidak mustahil berlaku kepada orang lain jika mereka melakukan sebab-sebabnya.
  3. Pengaruh dunia dan nafsu boleh menjauhkan manusia daripada bertakwa kepada Allah.
  4. Manusia telah diberi penghormatan oleh Allah di muka bumi ini dengan menjadikannya sebagai khalifah Allah.
  5. Setiap gerak-geri manusia sentiasa diperhatikan Allah.
  6. Bertaqwalah kepada Allah untuk mengelakkan diri daripada berlakunya fitnah kerana fitnah itu sering berlaku disebabkan kemewahan dunia dan disebabkan wanita.