Thursday, December 21, 2017

KEBENARAN ITU ADALAH KETENANGAN

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya : Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran/kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan.
(Hadith Sahih riwayat At-Tirmizi, No.Hadith : 2518)

Pengajaran Hadith :
 
  1. Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.
  2. Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.
  3. Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubhah (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.
 
Sumber rujukan :
1. Kitab Jami’ At-Tirmizi
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadus Salihin

Sunday, December 10, 2017

KEUTAMAAN IKHLAS

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."

(Hadith riwayat Muslim, No. Hadith : 2564)
1. Ganjaran pahala  di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.
2. Kepentingan menjaga niat agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT.
3. Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang  dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.


Sumber rujukan :
 
1- Kitab Sahih Muslim
2- Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadus Salihin.