Saturday, June 15, 2013

MENUTUP KEAIBAN ORANG LAIN

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: Muslim

Hadith: 

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya, “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba didunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat”.

Huraian Hadith: 
  1. Islam mengajar umatnya supaya tidak mendedahkan keburukan seseorang kepada orang lain.
  2. Sesiapa yang menutup keburukan saudara seagamanya nescaya Allah menutup keburukannya di hari kiamat kerana ganjaran yang disediakan sesuai dengan amalan yang dilakukan.

Wednesday, June 12, 2013

PAHALANYA TETAP ADA

Assalaamualaikum wbt,


Riwayat: (al-Bukhari dan Muslim)

Kategori: Ibadah

Hadith: 

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Seorang lelaki berkata : Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.

Huraian Hadith: 
Sesungguhnya sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh pada orang yang selayaknya.

Monday, June 10, 2013

DISIPLIN DALAM SOLAT

Assalaamualaikum wbt,


Riwayat: (Muslim)

Kategori: Ibadah

Hadith: 

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Bersabda Muhammad SAW.:"Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai!"

Huraian Hadith: 

Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama. Malah batas antara iman dan kufur ialah solat. Melaksanakan solat mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan yang merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Demikian juga solat turut membentuk disiplin pelakunya terutama jika kita solat berjamaah yang menuntut supaya menghormati imam (ketua) dan tidak boleh mendahului imam dalam setiap pergerakan. Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjaga disiplinnya dalam bersolat nescaya dia juga akan menjadi efisien di dalam pekerjaan yang dilakukannya.

Friday, June 7, 2013

ORANG YANG MEMAKAN DEBU PANAS

Assalaamualaikum wbt,



Riwayat: Muslim

Kategori: Akhlak

Hadith: 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”. 

Huraian Hadith: 
  1. Islam mengajar umatnya berbuat baik bagi mengeratkan hubungan antara keluarga walaupun kebaikan itu dibalas dengan keburukan.
  2. Berbuat baiklah dengan kaum keluarga dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturahim, semoga mendapat keredhaan dan pertolongan daripada Allah.
  3. Islam menghendaki umatnya mengerjakan kebaikan sesama keluarga untuk menjamin kesejahteraan.
  4. Orang yang cuba melakukan permusuhan dan kemarahan kepada orang yang hendak berbuat baik dengannya adalah dimurkai oleh Allah dan dia akan mendapat seksaan diakhirat kelak.

Wednesday, June 5, 2013

PERPADUAN MENGUATKAN KEDUDUKAN NEGARA

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Muslim
Kategori: 
 Isu-isu Semasa

Hadith: 

Dan daripada Abu Dzar RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya kamu akan membuka sebuah negeri yang disebut ‘al-Qirot’, di dalam satu riwayat lain, kamu akan membuka Mesir yang dipanggil dengan nama ‘al-Qirot’. Maka terimalah pesananku tentang penduduknya dengan melakukan kebaikan kerana mereka mempunyai hak dan kehormatan serta hubungan rahim.” Di dalam riwayat lain: “Apabila kamu membukanya maka berbuat baiklah kepada penduduknya kerana mereka mempunyai hak serta hubungan silaturahim, atau sabda Nabi mempunyai hak dan hubungan persemendaan.” 
 
Huraian Hadith: 
  1. Sesiapa yang pergi ke suatu tempat hendaklah dia mewujudkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk-penduduk di tempat tersebut.
  2. Islam memandang mulia dan tinggi terhadap orang yang memperbaiki hubungan silaturahim sesama manusia
  3. Perpaduan dan hubungan silaturahim boleh menguatkan kedudukan sesebuah negeri daripada pencerobohan musuh.
Sumber: Kitab Riyadh as-Solihin

Tuesday, June 4, 2013

BERSABAR DAN BERDOA MENGHADAPI PENYAKIT

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: Bukhari dan Muslim

Kategori: Akhlak

Hadith: 
Daripada Ata’ bin Abu Rabah menerangkan bahawa Ibnu Abbas RA berkata, “Adakah engkau suka melihat seorang perempuan daripada ahli syurga?” Aku menjawab: Bahkan “Tunjukkanlah”. Ibnu Abbas RA berkata, itulah dia wanita yang hitam yang pada suatu hari telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata, “Ya Rasulullah, Aku berpenyakit gila babi hingga terbuka aurat. Doakanlah semoga Allah menyembuhkan penyakit aku”. Dijawab oleh Nabi SAW, “Jika mahu engkau hendaklah bersabar dan bagimu syurga, sebaliknya jika engkau mahu aku akan berdoa kepada Allah semoga dia menyembuhkan engkau”. Dijawab oleh wanita itu, “Aku akan bersabar. Jika begitu doakanlah kepada Allah supaya aku tidak terbuka aurat “. Rasulullah SAW lalu mendoakan untuknya sebagaimana dikehendakinya.

Huraian Hadith: 
  1. Allah SWT menjanjikan syurga kepada orang yang bersabar menghadapi bala dunia.
  2. Mengubati penyakit dengan doa dan harapan yang bersungguh-sungguh kepada Allah memberi kesan dan manfaat di samping mengambil ubat.
  3. Meminta tolong orang lain supaya berdoa kepada Allah bagi diri kita adalah harus.
  4. Seseorang itu dikehendaki bersabar menanggung penyakit yang menimpa diri kerana penyakit itu sebagai dugaan daripada Allah. 

Monday, June 3, 2013

CABARAN MENGIKUT PEREDARAN MASA

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: 
 Bukhari
Kategori: 
 Akhlak

Hadith: 

Daripada Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekelian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati).” Keterangan ini aku dengar daripada nabi kamu Rasululluah SAW.

Huraian Hadith: 
  1. Hadis ini menceritakan bahawa masa yang akan datang lebih berat cabaran bagi manusia berbanding masa lalu.
  2. Keburukan akan berleluasa pada akhir zaman.
  3. Seseorang digesa bersegera dalam mengerjakan amal soleh.
  4. Seseorang hendaklah sentiasa bersabar apabila berhadapan dengan kezaliman.