Riwayat: Muslim
Kategori: Akhlak
Hadith:
Daripada Jabir RA katanya, "Apabila Rasulullah SAW berkhutbah kedua-dua matanya menjadi merah, suaranya sangat kuat dan bersangatan marahnya seolah-olah junjungan seorang ketua tenteranya yang sedang memberi peringatan kepada tenteranya". Baginda bersabda, " Berjaga-jagalah, pada pagi atau petang musuh akan menyerang kamu semua". Baginda bersabda lagi, "Masa di antara aku diutuskan dengan datangnya hari kiamat bagaikan dua jari ini”. Baginda merapatkan jari telunjuk dan jari tengahnya. Junjungan bersabda lagi, “Seterusnya, sesungguhnya sebaik-baik percakapan (berita) adalah al-Quran, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad SAW, dan sejahat-jahat perkara ialah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat”. Seterusnya Rasulullah SAW bersabda,” Aku adalah lebih utama terhadap setiap mukmin daripada mukmin itu terhadap dirinya sendiri, sesiapa yang mati meninggalkan harta, harta itu adalah hak warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau anak-anak dan keluarga maka kembali kepadaku dan menjadi tanggungjawabku”.
Huraian Hadith:
- Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya bahawa kedatangan hari kiamat telah hampir. Oleh itu setiap orang adalah dikehendaki berhati-hati sama ada dalam percakapan ataupun mencari petunjuk.
- Apabila hendak bercakap, bercakaplah mengenai sesuatu yang tidak terkeluar daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan apabila hendak mencari panduan hidup berpandukan kepada petunjuk nabi SAW.
- Adalah dilarang sama sekali seseorang itu melakukan bidaah kerana bidaah itu adalah sesat dan menyesatkan.
- Setiap orang wajib membayar hutang piutangnya dan menunaikan tanggungjawabnya dengan sempurna terhadap keluarganya.
- Sebaik-baik pekerjaan yang diceburi oleh seseorang ialah yang berkaitan dengan kitab Allah seperti belajar dan mengajar al-Quran.
- Amalan yang bertentangan dengan agama, yang tidak termasuk di bawah mana-mana usulnya hendaklah dijauhi.
- Anak yatim dan orang kurang upaya seperti orang tua yang tiada penjaga atau warisnya, wajib dibiayai daripada baitulmal, kerana pemerintah menjalankan tugas Rasulullah SAW yang menjaga mereka.
- Hak waris daripada peninggalan si mati (pusaka) adalah sabit Islam.
No comments:
Post a Comment