Monday, February 27, 2017

KONSEP SYUKUR RASULULLAH SAW

Assalaamualaikum wbt,

Hadith: 

Daripada  Aisyah RA: bahawa Nabi SAW bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah SAW? Sedangkan Allah SWT mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.”

Huraian Hadith: 
  1. Kita hendaklah sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.
  2. Setiap muslim hendaklah melakukan ibadat sunat untuk membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT.
  3. Setiap manusia hendaklah berjuang melawan hawa nafsu dengan sentiasa beramal soleh untuk menjadi hamba yang lebih diredhai.
  4. Seseorang yang menerima nikmat sewajarnya meningkatkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT.

Wednesday, February 22, 2017

ADAB KETIKA MENGUAP

Assalamualaikum wbt,


Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang di antara kamu menguap, maka hendaklah ia meletakkan tangannya ke mulut kerana sesungguhnya syaitan akan masuk ke mulut sekiranya tidak ditutup ketika menguap.”
(Hadith Riwayat Muslim) 
Huraian Hadith :
  1. Dituntut oleh Islam meletakkan tangan dan lain-lain ke atas mulut ketika menguap. Tujuan berbuat demikian adalah untuk menghalang syaitan masuk ke mulut sehingga orang tersebut dikuasai oleh syaitan.
  2. Makruh bagi orang yang menguap mengeluarkan suaranya ketika menguap, sesungguhnya syaitan itu sangat suka kepada orang yang lalai dalam apa keadaan sekali pun. 
Sumber :Kitab Riyadhus Salihin

Thursday, February 16, 2017

ANTARA BEBERAPA MASJID DI BANDUNG

Assalaamualaikum wbt, (Disember 2012)

(Artikel ini aku karang dalam tahun 2013....terlupa dan terlewat untuk aku post dalam blog ni....lanjutan daripada program perasmian Masjid Abu Bakar As Shidiq di KG BABAKAN JAWA, DESA BOJONGLOA, KECAMATAN RANCAEKEK, KABUPATEN BANDUNG, JAWA BARAT)

Aku sempat merakam beberapa foto Masjid yang kami sempat singgah dan lalui....di Pasar Baru,  Masjid Bandung raya, Masjid Abu Bakar As Shidiq, Masjid Raya Lembang dan Masjid Seriemas



MASJID RAYA BANDUNG, PROPINSI JAWA BARAT DARI BUMBUNG PASAR BARU
MASJID HASIL USAHA KELAB HAJI MUDA DAN SEMUA PENDERMA DARI SELURUH DUNIA
KG BABAKAN JAWA, DESA BOJONGLOA, KECAMATAN RANCAEKEK, KABUPATEN BANDUNG, JAWA BARAT
UNIK MASJID INI SEAKAN BERADA DI EROPAH DENGAN BENTUK BINAANNYA

Semua masjid ini kenangan manis aku dan rombongan ke Bandung bulan Disember 2012.

Wednesday, February 8, 2017

SABAR MENGHADAPI KESUSAHAN

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Aishah RA katanya, “Rasulullah SAW wafat dan meninggalkan baju besinya yang digadaikan kepada seorang yahudi dengan tiga puluh gantang gandum.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
  1. Islam menyuruh umatnya supaya bersabar menghadapi kesusahan dan kesempitan hidup.
  2. Islam melarang umatnya daripada bersusah payah mencari kesenangan hidup di dunia yang boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT.
  3. Harus bermuamalah dengan ahli kitab.
  4. Rasulullah SAW membuat gadaian kepada orang yahudi sedangkan dikalangan sahabatnya sendiri ada yang kaya kerana bertujuan menyatakan keharusannya, atau kerana bimbang sahabat tidak mengambil apa-apa bayaran daripada Rasulullah SAW atau cagaran malah mereka akan memberikan apa yang dihajati oleh Rasulullah SAW tanpa sebarang bayaran.
  5. Harus berhutang bagi mereka berniat untuk membayar, dan harus pula membuat gadaian.
Sumber :
 Kitab Riyadhus Salihin

Friday, February 3, 2017

SUNAT MENDAHULUKAN ANGGOTA KANAN

Assalaamualaikum wbt,


Daripada Aishah RA katanya, “Bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan anggota kanan dalam semua perkara yang dibuatnya seperti Baginda bersuci, menyikat rambut dan memakai seliparnya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 Huraian Hadith :
  1. Mendahulukan anggota kanan di dalam semua perbuatan yang baik seperti bersuci, menyikat rambut, memakai selipar dan lain-lain adalah mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  2. Bersuci, menyikat rambut, memakai selipar dengan mendahulukan sebelah kanan hukumnya sunat.
Sumber :
Kitab Riyadhus Salihin