Tuesday, March 14, 2017

ELAKKAN SYUBHAT

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: at-Tirmizi

Kategori: Ibadah

Hadith: 

Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib RA katanya, “Aku hafaz daripada Rasulullah SAW katanya: “Tinggalkanlah perkara yang engkau ragui dan ambil perkara yang engkau tidak ragui kerana sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keraguan.” 

Huraian Hadith: 
  1. Islam menggalakkan umatnya supaya membersihkan diri daripada perkara-perkara syubhat (yang tidak jelas haram atau halal) malah hanya mengambil yang jelas halalnya, kerana menjauhi perkara syubhat itu bererti memelihara agama dan maruah.
  2. Bersikap benar dalam percakapan atau perbuatan akan menimbulkan perasaan tenang, tegas, berani dan mendapat kepercayaan manusia, manakala sikap dusta atau pembohongan akan mengakibatkan perasaan bimbang, takut dan dipandang hina oleh masyarakat.
  3. Jauhilah perkara-perkara yang meragukan (syubhat) di dalam kehidupan kita sehari-hari.
  4. Kelebihan kebenaran itu membawa kebahagiaan dan dusta itu meruntuhkan kemuliaan.

Friday, March 10, 2017

KHIYAR MAJLIS

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: Bukhari dan Muslim
Kategori: Akhlak

Hadith: 

Daripada Abu Khalid Hakim bin Hizam RA (yang telah menganut Islam pada tahun pembukaan Makkah. Bapanya daripada golongan bangsawan Quraisy pada zaman jahiliah dan pada zaman Islam) katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Penjual dan pembeli berhak memilih sama ada hendak meneruskan pembelian atau jualan atau tidak selagi mereka belum berpisah. Jika mereka bersikap benar dan jujur (dengan memberitahu jika ada keaiban atau kecacatan pada barang yang dijual dan harga) nescaya diberkati Allah tentang jual beli mereka. Tetapi jika didapati penipuan dan dusta maka hilanglah berkat jual beli mereka.”

Huraian Hadith: 
  1. Menurut Mazhab Syafii khiyar majlis iaitu pilihan untuk meneruskan jual beli atau memfasahkannya selama penjual dan pembeli masih berada dalam majlis aqad (belum berpisah).
  2. Jika terdapat kecacatan pada barang jualan penjual wajib memberitahu kecacatan itu.
  3. Berdusta itu adalah sebab hilangnya berkat.
  4. Seseorang penjual yang bersikap amanah dan jujur akan mendapat berkat daripada Allah. Urusan jual yang dilakukan dengan amanah dan jujur merupakan ibadat kepada Allah.
  5. Sikap benar dan jujur akan menentukan sesuatu urusan sama ada mendapat berkat atau sebaliknya.
  6. Sah sesuatu jual beli itu apabila pembeli dan penjual telah beredar daripada majlis aqad.