Selamat Sejahtera ke atas kamu,
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam
dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu.
Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap
perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh
ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat
sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)
Huraian
Mualaf ialah orang yang baru
berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini
lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih
lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak
memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan
sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman
keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang
mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada
pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini
agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya
tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang
berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat
membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan
dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi
mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan
ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan
bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada
mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan
di dalam hadis di atas.
Sumber E - Hadith , JAKIM |
No comments:
Post a Comment