Thursday, March 3, 2011

MUKMIN BERJAYA - BAHAGIAN 1

Mukmin berjaya
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun: 1-2]
عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ:
 (( إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلاَّ عُشْرُ صَلاَتِهِ تُسْعُهَا ثُمُنُهَا سُبُعُهَا سُدُسُهَا خُمُسُهَا رُبُعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا)). ]رواه أبو داود أحمد وابن حبان[
Daripada ‘Ammar bin Yasir, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya pasti akan ada seseorang yang beredar (dari solatnya), dan tidaklah ditulis untuknya (ganjaran pahala) melainkan satu persepuluh dari solatnya, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga dan atau separuh dari solatnya.”
         [HR Abu Dawud, Ahmad dan Ibnu Hibban]

Pengajaran ayat dan hadith:

1.      Nilai kejayaan yang sebenar bagi setiap manusia adalah mengikut ukuran Allah bukan ukuran manusia. Dan ukuran kejayaan manusia ialah terletak pada solatnya, samada  betul, sempurna dan khusyu’ atau sebaliknya.
2.      Kejayaan yang di maksudkan dalam al-Quran ialah berjaya mendapat syurga dan selamat dari api neraka Allah, dan mereka yang betul-betul berjaya hanyalah orang yang khusyu’ di dalam solat mereka.
3.      Ini menunjukkan pentingnya solat yang betul dan khusyu’ kerana khusyu’ adalah  ruh kepada solat, cahayanya dan penyelamat kepada orang yang solat.
4.      Khusyu’ ialah:  Sifat  hina diri, tawaddu’ dan tunduk kepada Allah Azza wa Jalla, serta dapat melahirkan ketenangan pada anggota badan. Tanpa semua sifat ini tidak mungkin seseorang itu khusyu’ di dalam solatnya.
5.     Ketahuilah bahawa khusyuk itu bukan khusus ketika solat sahaja, sebaliknya ia juga di luar solat dan di semua keadaan. Tetapi ia di dalam solat lebih hampir (kepada Allah), ini kerana khusyuk lahir daripada perasaan membesarkan Allah Azza wajalla, rasa gerun kepada kehebatan-Nya dan mengagungkan kekuasaan-Nya. Manakala solat adalah tempat membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya.
6.      Nabi SAW juga pernah bersabda dan menyebutkan tentang solat lima waktu: “(Iaitu) orang yang menyempurnakan ruku’ dan khusyu’ mereka.” Baginda SAW menjadikan khusyu’ sebagai salah satu syarat solat, yang solat tersebut tidak akan sempurna melainkan dengannya.
7.      Barangsiapa yang solat tanpa adanya rasa khusyu’ dalam dirinya, dia adalah seperti orang yang memberi hadiah seorang hamba perempuan yang tidak bernyawa kepada raja. Benarlah kerana khusyu’ merupakan ruh solat.
8.      Apakah faedah yang anda akan dapat sekiranya anda menghadirkan jasad untuk solat, bangun dan rendahkan badan ketika solat, tetapi hati anda  tidak hadir bersama. Sesungguhnya engkau diperintahkan untuk menghadirkan semua sekali sehingga tidak ada sesuatu pun yang ghaib dari engkau. Kadang-kadang engkau menghadirkan hati ketika solat lebih penting daripada jasad engkau. Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad (fizikal) kamu, tidak juga kepada gambaran luar kamu dan harta benda kamu, akan tetapi Dia kepada hati-hati kamu, (dan baginda menunjukkan jari-jarinya ke arah dada baginda) dan amalan-amalan kamu. [Hadith soheh]
9.      Oleh kerana pentingnya khusyu’ maka diwajibkan tama’ninah ketika di dalam solat, ketika sujud di atas anggota sujud, ketika rukuk dan lain-lain. Sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi SAW. Daripada Jabir bin Samurah, Nabi SAW bersabda: “Tenanglah kamu semua di dalam solat.” [HR Muslim] .
10. Diriwayatkan bahawa Allah Ta’ala telah mewahyukan kepada seorang Nabi daripada golongan Bani Isra’il supaya dia berkata kepada kaumnya: Kamu semua datang kepadaku dengan badan-badan kamu, dan kamu memberi kepadaku lidah-lidah kamu (bercakap), sedangkan hati-hati kamu hilang daripadaku? Sungguh batilnya apa yang kamu lakukan kepadaku.
11. Sesungguhnya yang akan ditulis ke atas setiap solat ialah mengikut setakat mana hadirnya hati seseorang ketika solat, dan setakat mana akalnya berakalnya (memahami) apa yang di baca. Daripada Abul Yusri sahabat Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara kamu mungkin ada yang solat dengan sempurna, dan mungkin ada di antara kamu yang (ganjaran) solatnya hanyalah separuh, satu pertiga, satu perempat, satu perlima sehinggalah satu persepuluh.” [HR Al-Nasa’ie]
12. Ketahuilah bahawa orang yang bermunajat tidak akan bermunajat dengan sebenar-benarnya sehinggalah dia mengenal dengan siapa yang dia sedang bermunajat, dan mengapa ia bermunajat serta menghadirkan hatinya ketika bermunajat. Kita sedia maklum bagaimana perasaan dan keadaan seorang hamba ketika dia sedang berdepan dengan seorang pemimpin daripada ahli dunia, bagaimana bergolaknya perasaan dia ketika itu. Sudah tentu dia merasa hinanya diri di depan pembesar tersebut, badannya tunduk kepadanya, anggota badannya berasa tenang, dan hatinya akan hadir untuk mendengar ucapan pembesar tersebut dan menjawab balik apa yang diucap oleh pembesar itu.
13. Maka begitu jugalah dengan seorang hamba ketika dia hendak solat. Hendaklah dia merendahkan darjat dan martabatnya ketika berhadapan dengan Allah SWT, sebagaimana wajibnya ke atas kita untuk menghadapkan wajah ke arah qiblat.
14. ‘Umar al-Khattab RA berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang telah berkedut mukanya dalam Islam (tua di dalam Islam), tetapi Allah tidak menyempurnakan (menerima) solatnya. Beliau ditanya: Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Beliau menjawab: Dia tidak menyempurnakan khusyu’, tawaddu’ dan menghadap kepada Allah ‘Azza wa Jalla di dalam solatnya.
15. ‘Ubadah bin al-Samit berkata: Perkara pertama yang akan diangkat daripada manusia adalah khusyu’. Hampir-hampir engkau memasuki masjid untuk solat berjemaah tetapi engkau tidak mendapati seorang pun yang solat dengan khusyu’.
16. Waswas di dalam solat merupakan suatu perkara yang biasa. Ia pasti akan datang kepada sesiapa sahaja. Dan untuk menolaknya secara keseluruhan adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi, melainkan kepada mereka yang diberi kekuatan oleh Allah dengan kekuatan keimanan dan keyakinan. Oleh itu setiap orang hendaklah berusaha bersungguh-sungguh (mujahadah) untuk menolak setiap bisikan dan waswas syaitan ketika solat. Setelah ia berusaha bersungguh-sungguh untuk menolak bisikan dan waswas itu, maka insya Allah ia tidak akan dicela.

4 comments:

Rozali said...

Assalamualaikum En Rosli

Alhamdulillah
sedikit sebanyak saya memperolehi ilmu drp seorang kawan maya

terima kasih

Wassalam

مسافر_اسلام said...

Assalammualaikom wtb tuan. Khaifahaluka? Selamat Hari Jumaat. Syukran atas perkongsian ilmu yang sangat berguna. Seronok ana baca dan lihat Blog tuan.

Sesungguhnya ayat di Surah al-Mu’minun ini bnayak mengisahkan dan mencerikan keimana yang sebenar kepada ROB (tuhan/pencipta)Allah S.W.T. Didalam surah-surah lain juga terdapat maksud yang sama. Terutama di dalam surah al-Imran.

Sebenarnya kejayaan Manusia dan mahluk dimuka bumi ini adalah didalam agama Allah, sejauh mana ia dapat taat perintah Allah S.W.T. dan mengamalkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

JazakaAllah

rosli said...

Hj Rozali,

Tk , sekadar berkongsi ilmu di mana ada ruang

rosli said...

MI,

TK, saya berkongsi ilmu yang mana saya perolehi dari email saya dengan rakan pejabat.