Thursday, December 21, 2017

KEBENARAN ITU ADALAH KETENANGAN

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya : Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran/kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan.
(Hadith Sahih riwayat At-Tirmizi, No.Hadith : 2518)

Pengajaran Hadith :
 
  1. Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.
  2. Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.
  3. Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubhah (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.
 
Sumber rujukan :
1. Kitab Jami’ At-Tirmizi
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadus Salihin

Sunday, December 10, 2017

KEUTAMAAN IKHLAS

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."

(Hadith riwayat Muslim, No. Hadith : 2564)
1. Ganjaran pahala  di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.
2. Kepentingan menjaga niat agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT.
3. Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang  dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.


Sumber rujukan :
 
1- Kitab Sahih Muslim
2- Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadus Salihin.

Friday, November 3, 2017

MEMBERI PERTOLONGAN KEPADA KAWAN DAN SAHABAT

Assalaamualaikum wbt,


Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, pada suatu masa kami di dalam perjalanan, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang menunggang binatang, lalu dia memandang ke kanan dan ke kiri. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mempunyai kenderaan lebih hendaklah diberikan kepada orang yang tidak ada kenderaan dan sesiapa yang mempunyai bekalan lebih diberikan kepada orang yang tidak ada mempunyai bekalan.” Seterusnya Baginda menyebut berbagai-bagai lagi harta yang patut dibelanjakan, sehinggalah kami semua faham dan sedar bahawa sesiapa pun di antara kami mempunyai harta yang banyak dan berlebihan daripada keperluan sendiri. Maka mereka tidak lagi berhak ke atas harta-harta tersebut.
 Riwayat Muslim) 
Huraian Hadith :

  1. Memberi bantuan kepada orang Islam yang perlu pertolongan sama ada semasa bermukim atau pun musafir dituntut oleh Islam supaya terlaksana kesamarataan antara muslimin.
  2. Islam tidak menentukan cara atau bentuk bantuan yang akan diberikan oleh seseorang kepada orang lain, asalkan bantuan itu dapat memberi faedah seperti menumpangkan kenderaan, memberi makanan, minuman dan lain-lain meliputi semua perkara yang diperlukan oleh seseorang yang berada di dalam keadaan kesusahan.
  3. Tolong-menolong tidak terbatas kepada makanan dan minuman malahan mencakupi semua keperluan hidup. 
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Monday, October 23, 2017

RUMAHKU SYURGAKU - TANAMAN LUAR RUMAH RUMAH (BAB 17)

Assalaamualaikum wbt,


Aku mencabar diri aku dan memang banyak tenaga dan masa aku gunakan untuk membersihkan kawasan belakang rumah untuk aku bercucuk tanam....kawasan ini bawah talian voltan tinggi TNB, tetapi ketinggian dan jarak dari rumah adalah jarak selamat...

Cabaran lain adalah tanah ini penuh dengan batu  dan bahan buangan binaan selain dipenuhi lalang dan rumput tebal..aku sedikit demi sedikit, meracun rumput dan memotong menggunakan sabit dan mesin rumput mini...


CABARAN JUGAK NAK BERSIHKAN KAWASAN LALANG NI DULU DAN SEMAK TEBAL

Aku ada tanam pokok serai,  satu pokok nangka, beberapa pokok jambu batu, ubi kayu, satu pokok durian siam , satu pokok mangga siam, 2 pokok kelapa matag dan 2 pokok rambutan jenis  anak sekolah semuanya di tanam di luar rumah.

RAMBUTAN JENIS ANAK SEKOLAH


Zaman kanak-kanak aku sangat nakal dan masa tu aku memang banyak kali mencuri buah mangga, rambutan dan kelapa dari rumah orang...." Ya Allah Kau Ampuni Dosa2 ku " dan moga jiran2 lama dapat memaafkan aku walaupun memang sudah lama tidak berjumpa mereka.  Aku memasang niat, semua pokok buah yang aku tanam luar rumah ini,  jika diambil oleh anak2 jalanan atau siapa saja aku dah niat sedekah termasuk kepada tupai2 dan burung- burung yang singgah makan semua buah2 yang telah masak ini.....

SEBELAH KIRI TU POKOK NANGKA MADU

SERAI WANGI TU JIRAN AKU YANG TANAM...SUBUR SANGAT2 SERAI TU

MASIH ADA SEMAK DAN RUMPUT KASAR
VIEW BELAKANG RUMAH AKU...

Akan update pokok terkini selepas satu tahun dan selepas 2 tahun berkebun di sini nanti....ada yang sangat2 subur dan ada yang kurang menjadi.....

BERTOLAK- ANSUR DALAM HAL JUAL BELI

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Jabir RA bahawasanya Nabi SAW membeli daripadanya seekor unta, “lalu Baginda Rasulullah SAW membayar harganya melebihi daripada harga yang ditentukan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
  1. Islam menggalakkan bertolak-ansur dalam amalan berjual beli.
  2. Diharuskan membayar lebih daripada harga yang ditentukan dalam hal berjual beli lebih-lebih lagi kepada golongan yang susah.
  3. Islam menyuruh supaya redha meredhai di antara satu sama lain ketika berjual beli.

Sumber :  Kitab Riyadhus Salihin

Monday, September 25, 2017

SUNAT MENYAMPAIKAN BERITA GEMBIRA

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Ibrahim, dipanggil juga Abu Muhammad atau Abu Muawiyah Abdullah ibn Abu Aufa RA, “Bahawa Rasulullah SAW memberitahu berita gembira kepada isterinya Saidatina Khaidjah bahawa dia akan memperolehi sebuah rumah di Syurga yang dijadikan daripada permata, jauh daripada kebisingan dan juga permusuhan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Huraian Hadith :

  1. Hadith ini menyatakan kelebihan Khadijah Ummu al-Mukminin RA, dia adalah isteri Rasulullah yang pertama. Rasulullah tidak mempunyai isteri selain semasa hayatnya, dia lah wanita pertama memeluk Islam, dia telah membantu Rasulullah SAW dengan harta dan dengan dirinya, Saidatina Khadijah wafat tahun kesepuluh selepas kebangkitan Rasulullah SAW.
  2. Syurga adalah satu pembalasan bagi orang yang beriman dan bertaqwa di mana segala nikmat-nikmat dapat dihitung banyaknya dan tidak pernah di dapati semasa hidup di dunia.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Wednesday, August 9, 2017

'JADILAH SEORANG YANG PEMURAH'

Assaalaamualaikum wbt,


Daripada ‘Adi bin Hatim RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan bersedekah sebelah buah tamar.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :

  1. Islam menggalakkan umatnya supaya suka bersedekah kerana ia akan mengeratkan hubungan silaturahim antara yang memberi dengan yang menerima.
  2. Orang yang suka bersedekah sama ada sedikit ataupun banyak akan menghindarkan dirinya daripada api neraka.
  3. Orang beriman digalakkan bersedekah walaupun dengan sesuatu yang amat sedikit (kerana tidak didapati yang lain) dan bersedekah itu akan menjadi perisai daripada api neraka.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Wednesday, July 26, 2017

SIFAT ORANG MUNAFIK

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ditambah dalam riwayat Muslim : Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mendakwa diri Muslim. 
Huraian Hadith :
  1. Sifat munafik ialah salah satu sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Oleh itu, Umat Islam hendaklah menjauhi sifat tersebut.
  2. Tanda-tanda orang munafik ialah orang yang suka bercakap bohong, memungkiri janji apabila berjanji dan tidak menunaikan amanah.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Friday, July 14, 2017

TAKUT DENGAN SEKSAAN ALLAH SWT

Assalaamualaikum wbt,


Daripada an-Nu’man bin Basyir RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan di bawah tapak kakinya dua bara api (neraka) yang mendidihkan otaknya sehingga dia tidak percaya bahawa ada orang lain yang lebih berat seksaan daripadanya. Pada hal dia lah orang yang paling ringan azabnya (daripada orang lain)”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
  1. Umat Islam disuruh supaya takut dengan seksaan Allah SWT yang amat mengerikan pada hari kiamat.
  2. Allah SWT menyebut seksaan kepada manusia supaya mereka sentiasa berwaspada dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
  3. Seksaan terhadap orang yang berdosa pada hari kiamat adalah tidak sama, masing-masing di azab berdasarkan amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. 
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Friday, June 30, 2017

HARI RAYA AIDIL FITRI 2017

Assalaamualaikum wbt,

Kepada semua pembaca dan bloggers yang membaca blog aku Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2017 dan Maaf Zahir Batin
dari kami sekeluarga ,


Wednesday, June 21, 2017

RUMAHKU SYURGAKU - TAMAN MINI BELAKANG RUMAH (BAB 16)

Assalaamualaikum wbt,

Sejak berpindah ke rumah baru, Februari 2015 ni aku banyak jugak menanam pokok di belakang rumah atas tanah yang sangat terhad iaitu lebih kurang 25 kaki x 40 kaki.....tetapi selepas dibuat tempat membasuh tinggal 13 kaki x 40 kaki sahaja...tapi aku seronok sebab bercucuk tanam pokok ni adalah hobi aku selain main golf....ianya macam satu terapi pada diri aku...bila tengok pokok jambu batu,lemon,limau kasturi dan pokok2 lain mendatangkan hasil.


TMN MINI SEBELUM DIBUAT TEMPAT MEMBASUH
VIEW DARI LUAR RUMAH

Kerja-kerja menambah dapur@tempat membasuh siap sepenuhnya hujung April 2016  dan aku mula menanam rumput jenis cow grass  dan menyusun semula pokok dalam pasu dan yang ditanam dalam tanah.....ada pokok yang terpaksa di tanam di luar rumah (entri lain).


TAMAN MINI BARU AKU



Pokok kari,daun pandan, nenas, jambu batu, cili api,pokok rambutan,  bunga kertas dan banyak lagi semua bercampur di taman kecik tu...


TANGGA BATU UNTUK KE KEBUN LUAR RUMAH

Cabaran menamam pokok di taman mini adalah ruang yang sempit, banyak batu pembinaan terdahulu dan tanah yang keras serta kurang subur.....tetapi kena banyak bersabar dan kena rajin membaja pokok tersebut dan meracun rumput dan daun pokok yang diserang serangga buah. Alhamdulillah.....dah merasa hasilnya... 


Friday, June 16, 2017

MASJID AL UMM 2017 (depan rumah aku)

Assalaamualaikum wbt,


      SYAHDU DAN TENANG DI SUASANA MAGHRIB BARU2 INI

VIEW MASJID KETIKA PENGURUSAN MENGUJI LAMPU KUBAH

Dah lama jugak aku tidak update tentang perkembangan Masjdi Al UMM. Aku difahamkan AJK Masjid yang sedang bertungkus lumus untuk memastikan Masjid ini dapat beroperasi dalam tahun 2017. Aku harap2 tulisan aku dibaca oleh penduduk sekitar Bandar Baru Bangi agar mereka tahu ada sebuah masjid yang begitu cantik dan masih dalam proses persiapan akhir dan akan beroperasi sedikit masa lagi. In Shaa Allah.

BINAAN UTAMA SEMUA SUDAH SIAP

Tahun lepas bulan September 2016, YAB Dato Azmin ali , Menteri Besar Selangor hadir untuk lawatan kerja dan menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM 4 Juta untuk pembangunan dan menyiapkan Masjid ini, Alhamdulillah.....




Aku dah beberapa kali jugak membuat lawatan sendiri ke masjid ini dan naik ke atas bumbung untuk meninjau sekitar masjid....sempatlah jugak snap foto rumah aku dari tingkat atas masjid... 


          VIEW RUMAH AKU DARI TINGKAT ATAS MASJID

Aku dan seluruh penduduk Bandar Baru Bangi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, YAB MB, AJK Sekretariat Masjid yang bertungkus lumus untuk memastikan masjid ini siap dan digunakan dalam waktu terdekat ini. In Shaa Allah. 

Tuesday, June 13, 2017

HINDARI PERKARA MAKSIAT KETIKA BERPUASA

Assalaamualaikum  wbt,

Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” 
(Riwayat al-Bukhari) 
Huraian Hadith :
  1. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah SWT ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
  2. Puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Wednesday, June 7, 2017

BERBUKA PUASA MENGIKUT KEPERLUAN

Assalaamualaikum wbt,


Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  
Huraian Hadith :
  1. Rasulullah SAW telah pun mengajar umatnya akan cara-cara menentukan waktu berbuka puasa, melalui perbuatan Baginda sendiri ataupun petunjuk lain seperti berpandukan peredaran matahari dan sebagainya.
  2. Orang yang berpuasa dituntut menyediakan bahan makanan atau minuman sekadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batasan sehingga sampai berlaku pembaziran.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

MEMPERTINGKATKAN AKHLAK YANG BAIK

Assalaamualaikum wbt,


Daripada Aishah RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang Mukmin itu dapat mencapai orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang sunat di tengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.” 
(Riwayat Abu Daud)
Huraian Hadith :
  1. Allah SWT memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia setaraf dengan orang yang berpuasa dan mendirikan sembahyang ditengah malam.
  2. Orang Islam hendaklah berusaha mempertingkatkan mutu akhlaknya yang mulia dalam kehidupan hariannya supaya setiap amalan yang dilakukan itu diterima oleh Allah SWT. 
Sumber :  Kitab Riyadhus Salihin

Thursday, May 11, 2017

MERENDAH DIRI TERHADAP ORANG- ORANG YANG BERIMAN

Assalaamualaikum wbt,


Daripada Anas RA bahawasanya dia berjalan melintasi beberapa orang kanak-kanak lalu dia memberi salam kepada mereka dan katanya, Nabi SAW sentiasa berbuat demikian. 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Huraian Hadith :
  1. Para sahabat sangat prihatin dalam mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  2. Sunat memberi salam sesama Muslim tidak mengira darjat dan peringkat orang yang diberi salam.
  3. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang. 
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Friday, May 5, 2017

HAK KEJIRANAN

Assalaamualaikum wbt,
Daripada Abu Hurairah (juga) katanya, sabda Rasulullah SAW, “Wahai perempuan-perempuan muslimat janganlah engkau menghina seorang jiran kepada jiran tangga yang lain, sekali pun (apa yang diberi itu) berupa kaki kambing.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
  1. Islam melarang caci-mencaci antara jiran tetangga kerana mendatangkan permusuhan.
  2. Islam melarang umatnya daripada menghina pemberian jirannya walaupun pemberian itu sedikit.
  3. Islam menyuruh berbaik-baik antara jiran dengan jiran yang lain bagi menjamin kedamaian dan keharmonian hidup.
Sumber :  Kitab Riyadhus Salihin

Thursday, April 27, 2017

RUMAHKU SYURGA KU - TAMBAH DAPUR @TEMPAT MEMBASUH (BAB 15 )

Assalaamualaikum wbt,

Sesekali isteri dan anak-anak bila membantu membasuh baju kat belakang rumah adakala mereka 'berbunyi' sebab terlalu terdedah dan dekat sangat dengan longkang kecik....memang adakala bahaya..

Ada duit sikit,  aku cari kontraktor Indonesia yang aku dah biasa dengan dia , Wak Ipin....bagi dia kerja turap simen, tiles, letak tembok sikit dan sinki untuk memudahkan aku kerja basuh tangan dan peralatan berkebun aku.  Yang paling best kerja membasuh baju atau kerja2 membasuh peralatan kebun aku tidak lagi di buat dalam rumah lepas ni ... 


PASANG TEMBOK DULU
TEMBOK KIRI DAN KANAN RUMAH DULU
TAMAN SEMAKIN KECIK
TILES DAN SINKI DAH HAMPIR SIAP

ALHAMDULILLAH DAH SIAP

Bila dah siap tiles dan tempat membasuh, maka taman aku bercucuk tanam jadi pendeklah sikit dan beberapa pokok terpaksa dialih dan ditanam di luar rumah.



Tuesday, April 25, 2017

MENGERATKAN SILATURRAHIM

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
  1. Menghubungkan silaturahim adalah salah satu cara yang membolehkan seseorang itu masuk syurga.
  2. Menghubungkan silaturahim adalah sebahagian daripada amalan yang dituntut oleh Islam.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Thursday, April 13, 2017

MENYERU KE ARAH KEBAIKAN

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”
 
(Riwayat Muslim) 
Huraian Hadith :
 
  1. Setiap orang yang memberi petunjuk yang baik akan mendapat pahala seperti pahala orang yang melakukannya.
  2. Bercita-citalah untuk menambahkan amal kebajikan dengan penuh ketaatan.
Sumber :
Kitab Riyadhus Salihin

Monday, April 10, 2017

RUMAHKU SYURGAKU ( RUMAH BARU HOBI LAMA) - BAB 14

Assalaamualaikum wbt,

Sejak berpindah ke rumah baru Februari 2015 ...banyak perkara baru yang aku kena adjust.....antaranya tanam rumput baru...pokok lama dan baru dan banyak lagi....


TANAH REZAB TNB VIEW DARI DAPUR RUMAH

TANAH REZAB TNB VIEW DARI TINGKAT ATAS


Untuk memudahkan aku berkebun aku suruh kontraktor tebuk pagar dan buat tangga menghala ke kebun luar....

SEBELUM
SELEPAS
LEBIH MUDAH UNTUK BERKEBUN

Tapi satu perkara yang masih sama aku teruskan aktiviti menanam pokok bunga dan sekarang ada tanah luar pagar yang lebih luas (tanah TBN dan tanah kerajaan), aku tanam pokok buah seperti limau nipis, jambu batu, pokok nangka, serai, nenas dan lain-lain lagi....Alhamdulillah.


POKOK NANGKA AKU SEBELAH KIRI DAN HUJUNG TU 
SERAI WANGI JIRAN AKU
POKOK RAMBUTAN SEDIKIT TERBANTUT WALAUPUN 
SUDAH  SETAHUN DITANAM...

Walaupun tanah bukit ini  bercampur dengan batu2 bahan binaan terdahulu, bersemak samun dan lalang, aku gagahkan jugak membersihkan lalang dan meracun rumput di kawasan tersebut. Aku yakin kalau dibaja selalu pastinya akan subur jugak pokok2 ni...dengan Izin Allah.

Nanti aku update pokok2 yang berjaya aku tanam dan dapat hasilnya di entri akan datang.

Wednesday, April 5, 2017

ALLAH MAHA PENGAMPUN

Assalaamualaikum wbt,

Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, “Demi Allah yang diriku di dalam kekuasaan-Nya jika tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan lenyapkan kamu semua, dan digantikan dengan kaum yang melakukan dosa, lalu mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah mengampunkan mereka.”
(Riwayat Muslim)
 Huraian Hadith :
  1. Umat Islam disuruh meminta ampun daripada Allah terhadap dosa yang dilakukannya kerana Allah bersifat Maha Pengampun.
  2. Umat Islam dilarang berputus asa daripada rahmat keampunan Allah SWT.
Sumber :  Kitab Riyadhus Salihin

Monday, April 3, 2017

RUMAHKU SYURGA KU (POKOK ANGGUR BERPINDAH LOKASI) BAB 13

Assalaamualaikum wbt,

Pokok anggur yang aku tanam di rumah lama dalam pasu beberapa kali  berbuah walaupun tidak lebat, aku happy sebab ianya berjaya berbuah....dekat2 16 bulan aku biarkan di rumah lama walaupun aku dah berpindah ke rumah baru pada bulan Feb 2015, tapi aku sentiasa jenguk ke rumah lama dan siram pokok anggur ni....mungkin pokok ni pun pandai 'merajuk'...

MABUK DAUN
MASIH SUBUR
SEMPAT BERBUAH

Akhirnya bulan April 2016 aku bawa berpindah ke rumah baru dan tanam dalam tanah di luar pagar rumah...

MASIH DALAM PASU
TERDEDAH DENGAN KEPANASAN 
IN SHAA ALLAH HIDUP...

Aku ni sentiasa positif cabaran  menanam pokok anggur ni di dalam tanah, aku keluarkan tanah2 keras dan batu2...masukkan tanah baru sepertimana yang dicadangkan oleh tauke kedai bunga....masih 'merajuk' pokok ni sehingga kini...April 2017....dah satu tahun..belum pernah berbuah atau berbunga... 

Tuesday, March 14, 2017

ELAKKAN SYUBHAT

Assalaamualaikum wbt,

Riwayat: at-Tirmizi

Kategori: Ibadah

Hadith: 

Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib RA katanya, “Aku hafaz daripada Rasulullah SAW katanya: “Tinggalkanlah perkara yang engkau ragui dan ambil perkara yang engkau tidak ragui kerana sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keraguan.” 

Huraian Hadith: 
  1. Islam menggalakkan umatnya supaya membersihkan diri daripada perkara-perkara syubhat (yang tidak jelas haram atau halal) malah hanya mengambil yang jelas halalnya, kerana menjauhi perkara syubhat itu bererti memelihara agama dan maruah.
  2. Bersikap benar dalam percakapan atau perbuatan akan menimbulkan perasaan tenang, tegas, berani dan mendapat kepercayaan manusia, manakala sikap dusta atau pembohongan akan mengakibatkan perasaan bimbang, takut dan dipandang hina oleh masyarakat.
  3. Jauhilah perkara-perkara yang meragukan (syubhat) di dalam kehidupan kita sehari-hari.
  4. Kelebihan kebenaran itu membawa kebahagiaan dan dusta itu meruntuhkan kemuliaan.