Saturday, June 30, 2012

KAYA HARTA DAN KAYA ILMU

Assalaamualaikum wbt,
Hadith :

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” 


(al-Bukhari)



Huraian
 Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Friday, June 29, 2012

ANGGOTA KELUARGA BARU

Assalaamualaikum wbt,

Minggu lepas ,  saya berada di Air Hitam Muar, menghadiri perkahwinan anak sedara  isteri saya yang rumahnya bersebelahan rumah ibu mertua saya,  pengantin lelaki berasal dari Pontian. Alhamdulillah bertambah seorang lagi anggota keluarga sebelah isteri  saya.

Noor Adreena dan suaminya 

Biasalah  sedara mara akan berkumpul semasa majlis kahwin,bila dah ramai mesti baby kecik ni jadi perhatian,  belum sebulan lagi umurnya ....anak kedua kepada Haziq dan Ain...bertambah lagi seorang anggota keluarga  dari keturunan arwah Hj Md Yunos Mohd Zin dan  Hjh Asiah Sorakmin.

 Comel dan cute

Wednesday, June 27, 2012

WUDHUK

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu,


 Hadith :
Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.”

 
(Muslim)
 Huraian
 
Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

Monday, June 25, 2012

MENJAUHI PERBUATAN YANG MENDATANGKAN BAHAYA

Selamat Sejahtera Ke atas Kamu,

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."

 
Ibn Mas'ud r.a
 
Huraian

 
i) Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

Ii) Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

Iii) Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, surah an-Nas.
Iv) Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

ANTARA SHEBBY DAN FAM

Assalaamualaikum wbt,

Saya merasa terpanggil untuk bercerita pasal Shebby dan FAM,  berdasarkan kisah benar......kekadang saya tidak faham dengan sesetengah pegawai FAM yang masih menyanyikan lagu lama kecuali Tan Sri Annuar Musa yang memang mempunyai prinsip dan jujur dalam perjuangkan mutu bolasepak MalaysiaSaya merasa terpanggil nak mendedahkan 'salah laku' sorang dua pegawai FAM....yang bersikap begitu hipokrit dan tidak jujur dalam menjalankan tugas mereka Saya tabik spring pada Tan Sri Annuar Musa kerana berani menyaman FAM.....berani kerana benar...

Pertama , tahniah kepada Shebby kerana dilantik  sebagai Pengarah Kejurulatihan ,  Blackburn Rovers...salah satu pasukan di Liga Divisyen Satu, England.  Saya mengenali Shebby dan rapat dengannya dari tahun 2006 hingga 2008 dan pada ketika itu beliau di lantik selaku Penasihat kepada pasukan bolasepak Telekom Melaka (TMFC) dan pada ketika itu saya selaku Setiausaha Kehormat TMFC  hinggalah  TMFC menarik diri dan membubarkan pasukan pada September 2007. ( Ketika TMFC menarik diri  tahun 2007,  Tan Sri Annuar Musa masih aktif dalam politik dan belum aktif dalam bolasepak Kelantan dan FAM).  TMFC ketika itu tidak dibenarkan menyaman  FAM sebab nak jaga nama TM.  Saya akur pada ketika itu sebab saya adalah anggota tetap TM.....kalaulah saya individu seperti Tan Sri Annuar Musa ketika itu sudah pasti saya akan saman FAM...

Antara tahun 2006 hingga 2008 Shebby  agak lantang mengkritik dan memberikan pandangan kepada FAM,  pada ketika itu,  pihak FAM tidak begitu suka dengan komen beliau dan tidak senang dengan komen2 pedasnya dan ada satu konspirasi menjatuhkannya dan akhirnya TMFC terbabit secara tidak langsung (sila baca entri saya tahun 2008/2009) dan TMFC dibubarkan akibat konspirasi tersebut....Beberapa pegawai FAM mengatakan Shebby tidak layak untuk menjadi Jurulatih TMFC dan tidak layak mengkritik FAM hanya kerana beliau mempunyai lesen bolasepak kelas C. ( Shebby hanya dilantik sebagai penasihat sahaja dengan TMFC dan tak perlu lesen apapun)  Di Malaysia sekarang atau pada ketika itu, beliau hanya boleh dan layak  membawa pasukan kelab2 kecil termasuk pasukan piala belia umur 17 tahun ke  bawah sahaja !!!!!.  Nak jadi jurulatih Negeri dan pasukan kelab  mesti ada lesen kelas A dan lesen kelas B hanya boleh jadi pembantu......kelas C.....faham2 sajalah.....

Nah sekarang kita boleh lihat ,  apakah dengan lesen C, Shebby boleh mendapat jawatan di pasukan Kelab di England.  Kenapa kelab besar di England boleh melantik Shebby  ke jawatan tersebut tanpa lesen antarabangsa...(Satu lagi fakta Shebby adalah die hard fan pasukan Totenham Hotspurs)........maka sibuklah sorang dua pegawai FAM memberikan kenyataan bahawa Shebby boleh memberikan sumbangan kepada Malaysia untuk pembangunan program bolasepak Malaysia.....dulu engkau kata Shebby tak layak  dan tak boleh komen pasal bolasepak Malaysia......Apa ni.....Malulah sikit.....tahun 2007  dan sekarang 2012.....baru 5 tahun......saya  selaku saksi ketika tahun 2006-2008 masih boleh ingat nama2 pegawai FAM yang masih hidup lagi ni.........biarlah bermaruah diri....

Anda nak tau kenapa pegawai FAM ni mula nak 'bodek' Shebby......sebab nak tumpang glamour dan tumpang  masukkan player Malaysia ke kelab2 ternama England......lupakanlah.....sebab Kelab2 di England  mempunyai syarat ketat di sana,  ranking pasukan negara mestilah di bawah 96.....sedangkan ranking pasukan Malaysia di tangga ke 154/156.....saya tak sure  ranking Malaysia yang sebenar. 

Sekali lagi saya nak tegaskan.....saya memang menyokong pasukan Malaysia,  tetapi saya tidak menyokong sebahagian besar pegawai FAM yang ada sekarang....mereka ni dah outdated dan tidak mempunyai idea lagi untuk memajukan bolasepak Malaysia.  

Saya berani cabar FAM bagilah saya mana2 pasukan Malaysia yang lemah atau mereka tak mau jaga kepada saya..... saya sanggup bawak pasukan ini ke tahap yang tinggi. Insyallah.   Saya sanggup letak jawatan dengan Syarikat tempat kerja saya sekarang.....kalau mereka nak bagi pasukan bolasepak wanita kepada saya pun saya terima,  saya sanggup bekerjasama dengan Tan Sri Annuar Musa untuk menaikkan mutu bolasepak wanita Malaysia ( FAM macam dah tak berminat untuk memajukan  bolasepak wanita Malaysia).  Tapi syarat utama , jangan ganggu apa kami akan buat.....kami akan pastikan pasukan bolasepak wanita disegani di peringkat Asia Tenggara,Asia dan Dunia. Insyallah Allah bersama saya.


Tidak ada sebarang niat kecuali ingin membantu menaikkan semula nama Malaysia di persada dunia bolasepak.....kepada pengurusan FAM berundurlah kalau tidak ada idea lagi...bagilah peluang kepada orang lain yang ada idea baru....tidak perlu dikecam atau disuruh letak jawatan....ingatlah bahawa Malaysia sudah jauh tertinggal.....Filipina, Laos, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Kemboja.....semakin menjarakkan diri....Thailand dan Indonesia sudah tidak mahu lagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia kerana standard kita dah jauh ketinggalan.....apa lagi yang perlu kita nyatakan atau berikan tanda (indicator),  sudah terang lagi bersuluh.....

Friday, June 22, 2012

MOOD CERIA DAN MOOD HARAPAN

Assalaamualaikum wbt,

Alhamdulillah.....pagi ni tadi mood saya telah berubah.....tanda2 positif telah ada, ada sinar cahaya....saya kena usaha carikan pengganti saya.....boss suruh delay sikit dan kalau dapat pengganti maka saya boleh berhijrah ke unit baru.....Subhanallah.  Mood kembali ceria dan kembali bersemangat.

Bertimbang Rasa Dengan Orang Bawahan
Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a : “ Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan sapaan yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada ku :” Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan sapaan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.”
 
(al-Bukhari) 
 
Huraian
 
Komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Sikap ‘egoist’ akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan. Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

PUNCA SEGALA BENCANA

Assalaamualaikum wbt,


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:”Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:”Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:”Kerana inilah tanganku dipotong” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.”

 
(Muslim)


 
Huraian
 
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)

Thursday, June 21, 2012

MOOD WARNA WARNI

Assalaamualaikum wbt,


Sehari dua ni.....mood kerja jadi warna warni......mood suka ada, mood marahpun ada,  mood blur pun ada,  mood bengang pun ada, mood rajin kerja pun ada, mood nak siapkan hutang2 kerja pun ada, mood nak mengulau pun ada, mood nak main golf pun ada.....mood nak buat solat hajat dan solat tahajjud mintak pertolongan Allah lagi kuat. Insyallah.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya......itu jadi panduan untuk sejukkan hati yang gundah gulana dan tidak keruan ini.......

Permohonan mudah dan berterus terang jadi susah.....bila banyak ikutkan hati.....begitulah adatnya.......budibicara dan rasional sepatutnya digunakan dengan waras dan memudahkan semua pihak.......

Kuasa yang Allah bagi gunakan dengan baik, fikir, pertimbangkan dan mintak petunjuk Allah, Insyallah semua jadi mudah......apalah salah kalau kita gembirakan hati orang walaupun kita sedikit susah dan tidak menderita apapun.

Kalau kita nak cari ayat Quran atau Hadis  memang banyak yang boleh kita buat rujukan dan panduan......" Ya Allah ...." Kau bukalah hati hamba2MU ini "

Wednesday, June 20, 2012

SEBAIK - BAIK ORANG YANG BERHIJRAH

Assalaamualaikum wbt,

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”


(al-Bukhari)
 
Huraian

 
Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.
 

MOOD NAK HIJRAH TUGASAN KERJA

Assalamualaikum wbt,


Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


Alhamdulillah,  selepas 4 tahun berdoa di Raudah dan depan Kaabah, peluang untuk  berhijrah tugasan Insyallah menampakkan cahaya di hujung terowong,  tugasan yang lebih mencabar dan berkaitan OSH....minat saya sekarang.....mohon bertukar unit dan bahagian sahaja dan masih kekal di Syarikat yang sama.  Dah lebih 4 tahun buat kerja OSH secara part time.....termasuk menjadi trainer di NIOSH. 

Alhamdulillah, perancangan dari Allah untuk  saya, bertahan dan bersabar selama 4 tahun, hampir give up atau sudah berputus asa mencuba sejak tahun 2007, belum  sah dan belum confirm lagi....tetapi peluang kali ini agak cerah.  Pertengahan Ogos 2012 tarikh yang dirancang, esok lusa berjumpa dengan boss sekarang, moga Allah permudahkan perbincangan saya dengan boss sekarang. All the best to me.....hehehe...

Antara nasihat dari rakan karib, jangan sombong, jangan demand gaji atau gred dan jangan memandang rendah kemampuan orang, buat kerja dengan baik, jaga b_ _ _ _ t sendiri (maknanya jaga kerja masing2 dan pandai2lah nak hidup) dan  kerja dengan ikhlas untuk membantu Syarikat demi mengurangkan kemalangan di tempat kerja.

Cuba lagi.....bersikap positif dan jika sudah berusaha dan masih tidak berjaya berserah pada Allah dan terima dengan redho....Insyallah 


Berusaha, Berdoa Dan Bertawakkal Kepada Allah 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”
 
Riwayat Ibn an-Najjar
 
Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Kekayaan dan mengumpul harta untuk mengukuhkan ekonomi sangat digalakkan di dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu seperti mengeluarkan zakat, bersedekah untuk meninggikan syiar Islam atau melakukan apa sahaja kebajikan yang harus di sisi syarak. Ini penting kerana dengan cara ini tabungan (dana), pembahagian dan perluasan sumber sesama Islam boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar untuk kepentingan sesama umat Islam bagi mengelak daripada pinjam-meminjam, hutang-menghutang dan sebagainya.

ii) Kemiskinan itu kadangkala boleh membuatkan aqidah seseorang terpesong di mana musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan di atas kekurangan dan kelemahan yang dihadapi itu untuk mempengaruhi ke arah kesesatan. Oleh itu kemantapan iman sangat penting, jangan sampai menyalahkan takdir di saat menghadapi kemiskinan atau kesusahan hidup.
iii) Rezeki dan kemewahan datangnya daripada Allah S.W.T. Setiap manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya tetapi diingatkan agar tidak bersikap rakus dan tamak sehingga mencetuskan permusuhan dan perbalahan, dengki-mendengki dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah bersikap sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah sama ada banyak ataupun sedikit.

Tuesday, June 19, 2012

ALLAH TIDAK PERNAH PENAT

Assalaamualaikum wbt,

Hadith :

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a :” Ketika saya sedang duduk dengan seorang perempuan, datang rasulullah SAW dan bertanya kepada ku :”Siapa dia?” Aku menjawab :” Si fulanah” dan aku ceritakan kepada nabi SAW bahawa dia beribadah dengan berlebihan. Nabi SAW bersabda dengan memperlihatkan tanda tidak bersetujunya. “Perbuatan baik yang dilakukan secara berlebihan tidak akan membuat Allah letih (untuk memberi pahala) namun engkaulah yang akan letih dan ad-din (perbuatan baik-ibadah yang paling dicintai Allah SWT) adalah yang dikerjakan secara tetap.”

 
(al-Bukhari)



Huraian
 
Wasatiyyah atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan kepada umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar umat Islam juga turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka termasuk hal-hal ibadat. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah 185 yang berbunyi : “Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…“ Melakukan sesuatu ibadah atau perintah Allah dan Rasul-Nya secara melampaui batas akan melahirkan satu ibadah yang boleh memberatkan seseorang individu hingga menjadi satu bid’ah manakala terlalu meringankannya pula akan menjerumuskan kepada meninggalkan terus ibadah tersebut. Yakinlah dengan ganjaran dan janji Allah yang tidak pernah memungkiri janji-Nya.

Monday, June 18, 2012

ANTARA GOUT DAN MAKANAN KEGEMARAN

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu,

Seingat saya saya kali pertama kena sakit gout ni  Oktober 2010, selepas main golf.....sehingga kini dah  5 kali saya kena gout lagi....terbaharu minggu lepas 11-13 Jun 2012,  mc 3 hari.....sakitnya kali ini....berdenyut2...nak tido pun tak boleh.....

Dari kecik kekacang, sayur kekacang dan seafood adalah makanan kegemaran saya....doktor pesan lagi.....ujian darah boleh tentukan samada buah pingggang saya ok atau tidak dan samada saya ada diabetes......dengar buah pinggang dan diabetes....saya jadi ngeri dan seriau......saya kena lupakan semua makanan tersebut.....berat tapi saya kena kuat semangat. Insyallah. 

Tiga orang doktor yang berlainan pesan pada saya benda yang sama......jaga makan dan mesti berpantang....jauhkan diri dari sayur kekacang termasuk kacang panjang, kacang buncis dan sayur bayam, sayur kobis bunga dan asparagus dan kacang-kacang......lagi satu jauhkan diri dari seafood seperti, ketam, udang, semua jenis siput, kepah, kerang dan makanan laut yang dekat dengan pantai berlumpur..
  
SEMUA JENIS KACANG PEBERET SAYA

 
SAYUR KACANG BUNCIS

 
KACANG PANJANG


JUGAK PEBERET SAYA

 
KETAM, UDANG DAN SOTONG
LANGSUNG TAK BOLEH MAKAN

Sekali lagi doktor pesan pada saya.....tinggalkan semua makanan laut dan paling kena ingat lupakan semua jenis kacang.....Selamat tinggal semua makanan peberet saya.....

Bila umur semakin banyak satu persatu nikmat kita Allah akan tarik...nikmat makan saya Allah dah tarik satu.... " Ya Allah , Bagilah kekuatan kepada hambaMU ini " .  Ameen....

Friday, June 15, 2012

KELEBIHAN SAIDINA UMAR DALAM ILMU UGAMA

Assalaamualaikum wbt,

Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”

  
 Huraian
 
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil. Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Thursday, June 14, 2012

KAYA KOK

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu,

Masih ingat entri saya pasal belanja sekolah....tahun 1976 hingga 1978,  belanja sekolah saya 20 sen,  masa rehat inilah saja kuih yang saya mampu beli....Kaya Kok.  Sehingga kini saya masih lagi suka makan kuih ini, rasanya tetap sama dan tetap sedap seperti dahulu.

SALAH SATU KUIH PEBERET SAYA SEHINGGA KINI
 
DULU HARGA CUMA 10 SEN DAN YANG BESAR 20 SEN
HARGA SEKARANG RM 1.10...ZAMAN DAH BERUBAH
LEMBUT DAN RAPUH....SEDAP SANGAT

Alhamdulillah....memori ini tetap kekal dengan jenis kuih yang saya sangat suka masa sekolah dulu....kebetulan kat belakang rumah,  kat Fasa 4 Tambahan ada satu kedai kek yang jual kuih ini,  kalau terasa rindu saya gerenti pergi beli.

Tuesday, June 12, 2012

PETANDA - PETANDA HAMPIRNYA KIAMAT

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu,
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"
 
Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a


Huraian
 
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"

Monday, June 11, 2012

HANTU DURIAN

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu,

Dari kecik saya memang suka durian.....dulu boleh makan banyak tanpa rasa apa-apa. Rasanya di antara 7 beradik sayalah yang paling kuat makan durian....Hantu Durian.... Bila dah banyak umur ni.....semuanya kena kawal takut membawa mudarat kepada diri sendiri.

DURIAN JENIS MUSANG KING /KUNYIT 
PEBERET SAYA SEKARANG

Seingat saya sejak tahun 1971 kami adik beradik berulang ke Kg Batu Laut, Banting setiap bulan Ogos (musim cuti sekolah) jika musim durian,  duduklah kat pondok jaga sendiri buah durian,  kebun milik wan dan atuk.  Walaupun kami bukan cucu kesayangan mereka kerana kami dari keluarga susah....bila musim buah pasti kami balik kampung.....hinggalah tahun 1979 bila arwah abah pulang ke kampung dan duduk di tanah dia sendiri.... kami tidak lagi 'menyibuk' di kebun arwah wan dan atuk....kebetulan abang2 dah kerja dan mampu beli durian sendiri...Kekadang jadi sedih bila bercerita tentang durian, musim buah dan perhubungan antara sedara mara....

 SEDAP DURIAN NI...RM 18- 24 SEKILO...PERGHHHH

Kini semua tu dah jadi kenangan kerana,  saya dan adik beradik lain menumpang makan durian di kebun milik arwah abah di kampung yang sama.  Entah kenapa musim durian sekarang tidak semeriah dulu, saya pun dah tak teruja nak jaga di pondok durian.  Cari duit dan simpan duit setiap tahun ....pergi ke mana2 gerai durian di sekitar Bandar Baru Bangi....pilih dan beli.....nak durian kampung, durian kunyit, udang merah, IOI, D 24 dan banyak lagi.....tepuk dada tanya selera.

 BELI DAN MAKAN PUAS2...
TAK PERLU SUSAHKAN SEDARA MARA LAGI

Kekadang bila ingat memori lama rasa terluka dan terasa sedih bila dikatakan 'sedara durian' sebab kami akan muncul pada musim durian sahaja....resam dunia.....sekarang saya tetap menjenguk mereka yang masih hidup dan duduk di kampung selain musim durian,  mereka berjaya 'mambakar' semangat saya  untuk tidak datang hanya pada musim durian...kini saya boleh makan apa saja durian dengan rezki yang Allah bagi kepada saya....tidak berniat untuk bermegah atau menunjuk,  sekadar kekadang terasa begitu 'hina' bila miskin dan dipandang sengkek  dan menyusahkan sedara mara bila tidak berduit masa kita kecik2 dulu.  Teringat abang saya yang sulong dan abangah saya selalu pesan, "jangan berdendam dengan sedara mara sebelah abah atau emak" ....zaman dah berubah....dunia tetap berputar adakala kita di atas dan adakala kita di bawah....

Yang pasti sekarang , bila musim durian antara Mei hingga September.....saya tetap jadi 'Hantu Durian'....bukan lagi di pondok durian tetapi di gerai2 tepi jalan yang jual durian....hehehe....pilihan hati Musang King/Kunyit, Udang Merah, IOI dan D 24.


Teringat jenis durian jantung pemberian sorang kenalan dari Pontian dulu.....Dato Abd Razak, bekas DO Muar....durian yang paling sedap pernah saya makan....

Friday, June 8, 2012

SENYUMAN TERAKHIR

Selamat Sejahtera ke Atas Kamu,

Hari ini saya kehilangan seorang lagi rakan sepejabat arwah Hanan Mohd Ali Hanafiah, ikut laporan doktor akibat darah tinggi dan serangan sakit jantung pada sebelah malam dan meninggal pagi tadi selepas Subuh di Hospital Port Dickson,  telah selamat dikebumikan lebih kurang jam 6.30 petang tadi (8 Jun 2012) hari Jumaat. Al Fatihah.

Kali terakhir saya terserempak dengan arwah dua hari lepas semasa saya menuruni tangga,  dia pandang saya dan saya pandang dia dan dia hanya senyum,  saya pun senyum......itulah Senyuman Terakhir arwah.....biasa dia akan bertegur sapa dan bergurau dengan saya.....

Beberapa tahun lepas saya juga kehilangan seorang rakan pejabat (arwah Shawal) , sehingga kini saya masih ingat lagi 'Senyuman Terakhir ' arwah...berjumpa dengannya selepas latihan bolasepak di padang TMTC ketika itu....ketika bersalam dan hendak pulang saya sempat bersalam dengan arwah....dia hanya senyum dan tidak berkata apa2 ketika itu....keesokkan harinya arwah dimasukkan ke ICU HKL dan beberapa hari lepas itu  meninggal , arwah jugak dikatakan terkena serangan jantung secara mengejut.....Al Fatihah.

"Ya Allah Kau Ampunilah kedua2 rakan ku ini". Ameen

Kedua2 mereka telah selamat berada di alam kubur.....bagi kita yang masih hidup hanya boleh berdoa dan dipermudahkan semuanya termasuk cara kita mati dan dikebumikan nanti. Ameen.........

Thursday, June 7, 2012

KEISTIMEWAAN MEMELUK ISLAM

Selamat Sejahtera ke atas kamu,

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”

 
(al-Bukahri)

Huraian
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas. 

Sumber E - Hadith , JAKIM 

Wednesday, June 6, 2012

RUJUKAN PERKONGSIAN ILMU

Selamat Sejahtera ke atas kamu,

Sekarang begitu mudah mendapatkan maklumat dan ilmu , boleh dapat terjemahan Al Quran dan E Hadith.  Selepas ini saya akan berkongsi terjemahan Al Quran yang saya perolehi dari Surah.my untuk terjemahan Al Quran dalam bahasa Melayu dan E Hadith dari sumber JAKIM. 

Banyak lagi sumber yang saya rujuk, jika sekiranya ada yang tersilap atau terkurang mohon diberi teguran kepada saya.  Jutaan terima kasih kepada semua rakan, pengunjung   dan followers yang sudi membaca dan memberikan komen untuk menafaat bersama. 

Tuesday, June 5, 2012

QARIN, PENDAMPING SETIAP MANUSIA

Assalamualaikum wbt,
(berkongsi email dari rakan pejabat)

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)

Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)

Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:
“Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)

Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.”(Hadith Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu 

Nota: Jangan sampai Qarin kita berlepas tangan atas kesesatan atau kederhakaan yang telah kita lakukan.

Monday, June 4, 2012

CUTI SEKOLAH - MUSIM ORANG NIKAH DAN MAJLIS KAHWIN

Assalaamualaikum wbt,

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba - abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seagama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Minggu lepas (27 Mei 2012) saya berada di Yong Peng , menghadiri majlis perkahwinan anak sedara wife ,  Nadia Md Nasir.  Selamat pengantin baru pada Nadia dan suami, moga jodoh berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Nadia Md Nasir, anak sedara my wife, ni sahaja gambar yang ada 
dalam hp saya,  gambar2 lain dalam kamera

Semalam (3 Jun 2012) anak sedara saya pulak , Mohd Fauzan Amizan melangsungkan majlis perkahwinan di sebelah lelaki di Seksyen 8, Petaling Jaya.  Selamat pengantin baru dan moga jodoh berpanjangan hingga ke akhir hayat. Ameen

Mohd Fauzan dan Nisa

Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.